Friday, March 19, 2010

KEPEMIMPINAN EFEKTIF


KEPEMIMPINAN EFEKTIF

MUQADDIMAH
Apa itu kepemimpinan? Kepemimpinan adalah ciri-ciri atau kebolehan untuk menginspirasi atau mempengaruhi orang lain untuk melakukan sesuatu untuk mencapai matlamat yang tertentu. ‘Orang lain’ itu samada orang bawahan dalam organisasi, ataupun mungkin orang awam diluar organisasi.

Dalam Islam, matlamat seorang pemimpin itu mestilah bertepatan dengan al Quran dan as Sunnah. Sayyidina Umar RA pernah berkata, “Taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, sebaliknya sanggahilah aku jika kamu mendapati aku menyanggahi Allah dan Rasul-Nya…”

SEKILAS PANDANG...

Memimpin ialah
1. Seni...
2. Proses mendorong orang lain melakukan sesuatu
3. Sikap untuk mempengaruhi
4. Melibatkan kerohanian iaitu membabitkan personaliti dan halatuju

Mengurus ialah
1. Sains...
2. Proses melakukan sesuatu melalui orang lain
3. Mentadbir dan melaksanakan kerja
4. Melibatkan mental iaitu membabitkan statistik, keadeah, jadual dan rutin.

Pemimpin diperlukan untuk...
1. Memberikan inisiatif dan bertindak pantas untuk melakukan perubahan
2. Menggunakan pengurusan untuk memantau prestasi
3. Menggunakan seni kepemimpinan untuk memandu prestasi pada arah yang betul
4. Tidak menentukan arah angin tetapi mengawal arah layar pada kapal.
5. tidak menyalahkan orang lain tetapi menyebarkan kejayaan bersama.

CIRI-CIRI TERAS KEPIMPINAN PADA TAKRIFAN ISLAM

Secara umumnya, pemilihan yang amanah akan menilai 2 ciri asas yang mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Firman Allah SWT;

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja (memimpin) adalah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai).
(al-Qasas: 26)

Maka dengan tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar dilihat pada 2 ciri utama yang disebut di dalam nas tersebut. Ini adalah seperti yang dijelaskan oleh Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islahur Ra’I war Ra’iyyah iaitu:

1. al-Quwwah : Kekuatan dan kemampuan.
Ciri-ciri al-Quwwah merujuk kepada bidang tugas yang diberikan. Contoh: Di dalam bidang organisasi menuntut kepada kemahiran mengurus, mengarah dan mentadbir dengan baik. Manakala dalam bidang kehakiman, al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam hal hokum-hakam dan adil.


2. al-Amanah : Dipercayai
Manakala amanah pula merujuk kepada 3 perkara utama iaitu:
- Takutkan Allah SWT.
- Tidak menjual ayat-ayat Allah demi mendapatkan habuan dunia.
- Tidak takutkan manusia.

Sabda Rasulullah SAW:
“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.”

Riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, al-Imam Nawawi, juz 12 ms. 414 hadith ke-4696, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut

APA ITU KEPEMIMPINAN?

Leadership is the art someone else to do something you want to be done because he wants to do it.
-Dwight Eisenhower-

Kepemimpinan bukanlah sesuatu yang material. Ia adalah satu kemampuan untuk mengetuai, memimpin dan memandu. Ia merupakan seni yang menghasilkan kemampuan untuk menjana idea, berkomunikasi mencipta dan membentuk kepercayaan di dalam sanubari para pengikut terhadap idea yang dijana yang juga termasuk di dalamnya visi dan misi.

Pemimpin adalah wujud dan berada di sekeliling kita. Ada yang mempunyai jawatan seperti Perdana Menteri, Presiden, Ketua Eksekutif, Pengetua, Pengarah, Kapten dan sebagainya. Ada yang mengamalkan kepemimpinannya pada jangka waktu yang panjang seperti pengasas kepada perniagaan turun temurun warisan keluarga mahupun seorang idealis politik. Wujud juga yang mengamalkan kepemimpinan hanya untuk beberapa ketika tertentu. Antara contohnya ialah seorang guru tadika yang ‘memimpin’ muridnya bagaimana untuk menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran, atau seorang kapten yang ‘memimpin’ anak kapalnya untuk berhadapan dengan kecemasan.

Kualiti yang menjadi pendorong kepada para pengikut untuk menyokong seseorang pemimpin adalah berbeza pada setiap keadaan dan situasi. Dalam hal ini, tidak ada rahsia yang boleh disembunyikan. Rahsia untuk meneroka potensi kepemimpinan sememangnya ada di dalam diri setiap individu. Tulisan ini sedikit demi sedikit akan membantu di dalam pengembaraan membongkar rahsia tersebut.

Bennis dan Nanus di dalam buku mereka bertajuk “Strategies for Taking Charge” menegaskan bahawa “Kepemimpinan adalah sesuatu yang boleh dipelajari oleh sesiapa, diajar kepada sesiapa, dinafikan tidak pada sesiapa.” Kepemimpinan adalah suatu seni yang peluangnya sentiasa terbuka untuk dipelajari di dalam setiap rentak kehidupan manusia. Kesediaan untuk belajar meruapakan langkah pertama dipimpin untuk memimpin. Begitulah kenyataan Winston Churchill yang mengatakan bahawa, “Secara peribadi, saya sentiasa bersedia untuk belajar walaupun saya tidak gemar untuk sentiasa di ajar.”

Ia adalah ciri-ciri atau kebolehan untuk menginspirasi atau mempengaruhi orang lain untuk melakukan sesuatu untuk mencapai matlamat yang tertentu. ‘Orang lain’ itu samada orang bawahan dalam organisasi, ataupun mungkin orang awam di luar organisasi.

Dalam Islam, matlamat seorang pemimpin itu mestilah bertepatan dengan al Quran dan as Sunnah. Sayyidina Umar RA pernah berkata, “Taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, sebaliknya sanggahilah aku jika kamu mendapati aku menyanggahi Allah dan Rasul-Nya…”

Terdapat pendapat bahawa untuk menjadi pemimpin yang baik, anda mesti mempunyai bakat semulajadi (inborn quality). Sebab itu pada zaman dahulu raja-raja dan pembesar-pembesar dipilih berdasarkan keturunan, kerana dilihat bahawa kepemimpinan akan diwariskan dari ayah kepada anaknya.

Namun begitu, pandangan sedemikian sudah tidak diterima lagi. Ahli fikir zaman sekarang berpendapat bahawa ciri-ciri pemimpin yang baik dapat dipupuk dan dibina, bukannya anugerah semulajadi keturunan. Oleh kerana itu, kita dapat melihat beberapa contoh pemimpin dunia yang datang dari latarbelakang yang berbeza.

Contohnya, Rasulullah SAW sendiri adalah seorang anak yatim piatu dan penggembala kambing, tetapi akhirnya menjadi pemimpin teragung dunia. Umar Abdul Aziz pula mujaddid Islam yang datang dari kerabat Khilafah Umayyah. Abraham Lincoln adalah seorang anak miskin yang tinggal di kampung yang daif. Tunku Abd Rahman pula dari keluarga diraja. Begitulah beberapa contoh yang menunjukkan bahwa latarbelakang asal tidak menentukan samada seseorang itu menjadi pemimpin yang baik atau tidak, tetapi faktor pendedahan dan pengalaman yang dilaluinya.

KENAPA ORANG MENJADI PEMIMPIN?

Pada pandangan Barat, orang memilih untuk menjadi pemimpin kerana beberapa sebab.

1. Kerana ingin mencapai tujuan-tujuan social; contohnya, untuk memerdekakan tanahair, atau untuk memajukan masyarakat, atau untuk mengangkat martabat sesebuah institusi tertentu.
2. Kerana untuk kepuasan peribadi, contohnya untuk menguji kebolehan sendiri dan kepuasan apabila mencapai sesuatu tujuan.
3. Orang ingin menjadi pemimpin kerana prestij dan keinginan untuk dihormati dan dihargai.

Namun dalam Islam, kepimpinan adalah suatu tanggungjawab dan amanah dari Allah. Ia adalah suatu yang suci dan mestilah lahir dari hati yang ikhlas tulus; semata-mata untuk melaksanakan tugas sebagai hamba Allah di muka bumi. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi. Ini bermakna kita semua diberi tanggungjawab oleh Allah untuk mentadbir bumi ini dengan sistem yang ditentukan oleh Penciptanya. Untuk itu, al-Quran sentiasa menyuruh kita menyeru kepada yang baik dan mencegah yang mungkar, atau yang kita kenali sebagai dakwah. Untuk melaksakan dakwah, ciri-ciri kepemimpinan yang effektif diperlukan. Bahkan. Rasulullah SAW juga menyebut bahawa setiap daripada kita adalah pemimpin, dan kita bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang dipimpin oleh kita.

BAGAIMANA UNTUK MEMBINA CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG CEMERLANG?

Ada tiga proses paling utama untuk membina sifat kepemimpinan yang dinamik, kreatif, dan progresif.; Pertama, pendedahan; Kedua, latihan; dan yang Ketiga ialah pengalaman. Ketiga-tiga proses ini akan mencanai seseorang itu untuk membina sifat-sifat pimpinan

Pertama, pendedahan yang mesti diberikan ialah tentang konsep kepemimpina secara menyeluruh. Remaja kita mesti didedahkan dengan beberapa bentuk dan model kepemimpinan, contohnya autokratik, demokratik, laissez-faire, dan lain-lain. Dengan pengetahuan seumpama ini, maka remaja akan dapat menganalisa corak-corak yang diamalkan diseluruh dunia, dan akhirnya menilai unsur positif yang terkandung dalam corak-corak kepimpinan tersebut. Insya Allah jika diberi kesempatan, saya akan menjelaskan beberapa corak kepemimpinan yang selalu diamalkan sekarang.

Kedua, beberapa siri latihan mestilah ditempuhi untuk mengetahui sejauh mana keupayaan yang kita miliki. Latihan tersebut samada secara formal atau informal. Rasulullah SAW juga mendapat latihan secara tidak langsung apabila menjadi penggembala kambing dan saudagar antarabangsa. Namun pada hari ini, terdapat banyak bengkel dan seminar diadakan untuk memberi latihan kepimpinan kepada anak-anak muda.

Ketiga, pengalaman yang berguna sangat penting untuk melengkapkan seseorang itu menjadi pemimpin yang baik. Sekadar pendedahan dan latihan sahaja tidak mencukupi untuk membina seorang pemimpin yang baik. Oleh yang demikian, anda mestilah melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti ko kurikulum di sekolah atau tempat anda belajar. Jangan malu dan segan untuk menerima tanggungjawab demi untuk pembaikan masyarakat, dan juga untuk menambahkan pengalaman anda. Semakin banyak pengalaman, semakin matang seseorang pemimpin itu. Sayyidina Umar RA adalah juga seorang pemuka Quraisy di zaman jahiliyyah, seorang pahlawan dan seorang sahabat rapat Rasulullah SAW. Dengan pengalaman-pengalaman yang banyak, akhirnya beliau menjadi seorang khalifah yang banyak melakukan usaha-usaha pembaikan yang diikuti sehingga sekarang. Pada waktunya jugalah wilayah Islam tersebar luas sehingga ke Benua Kecil India dan Benua Afrika. Itulah salah satu contoh pemimpin yang baik hasil daripada pengalaman yang luas dan pelbagai.

APAKAH KEPERLUAN UTAMA UNTUK MENJADI PEMIMPIN YANG BAIK?

a) Sikap yang positif:
Sikap merupakan penentu kejayaan atau kegagalan sesuatu perkara. Ramai pelajar-pelajar yang ponteng kelas adalah kerana malas dan alasan-alasan yang dicipta. Sebenarnya, alasan-alasan itu adalah hasil daripada sikap yang negatif dan suka berdalih. Begitu juga dalam melahirkan pemimpin yang baik. Sikap-sikap positif mesti diperkuatkan untuk melahirkan ciri-ciri yang diperlukan; amanah, bertanggungjawab, rajin, prihatin, jujur, progresif, dan optimis. Kerana itu Rasulullah SAW pernah memberitahu bahwa dalam tubuh manusia terdapat seketul darah, jika baik darah tersebut, maka baiklah seluruh badan, sebaliknya jika buruk daging tersebut, maka buruklah seluruh badan, dan daging tersebut ialah hati. Dalam konteks ini, hati boleh dianggap sebagai elemen yang menentukan sikap seseorang.

b) Ilmu dan pengetahuan yang luas:
Ciri ini adalah penting untuk melahirkan seorang pemimpin yang bermaklumat, berpandangan jauh, bijak, dinamik, kreatif, dan tidak putus akal. Sebagai muslim, kita mesti mempunyai beberapa ilmu utama; ilmu aqidah, tasawwur Islam yang sebenar, memahami al Quran dan as Sunnah, dan mengetahui beberapa asas dalam ilmu usul fiqh. Untuk menjadi seorang yang berilmu, anda mesti menuntut ilmu dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Tetapi ia belum menjamin bahawa anda boleh menjadi seorang yang bermaklumat. Untuk memiliki maklumat, anda mestilah mempunyai sikap inquiry, iaitu perasaan ingin tahu terhadapa apa yang berlakui di sekeliling. Ia memerlukan pembacaaan luas dan saluran media massa yang cepat dan tepat. Maklumat seperti ini akan banyak membantu anda dalam membuat keputusan dalam memimpin.

c) Kemahiran memimpin:
Ia adalah pengetahuan khusus yang mesti dimiliki oleh pemimpin yang berkarisma. Jika anda ingin menjadi seorang penukang kayu, anda mesti mahir menggergaji, memahat, menukul, mengasah, mengukur dan memaku. Begitu juga dengan pemimpin. Ada beberapa kemahiran yang mesti dimiliki jika anda ingin menjadi pemimpin yang berkesan dan berkarisma. Antaranya ialah kemahiran berfikir, kemahiran berucap, kemahiran komunikasi, kemahiran mengurus, kemahiran interpersonal, dan kemahiran personality. Insya Allah jika diberi peluang, saya akan menjelaskan tips-tips asas kemahiran tersebut.

Ayuh kita mulakan pengembaraan!

Nelson Mandela di dalam ucapan sulongnya sebagai President Afrika Selatan pada tahun 1994 setelah 26 tahun dipenjara dengan jayanya mewujudkan saat penuh inspirasi dengan memetik kata-kata Marianne Williamson berkata, “Ketakutan kita yang utama bukanlah kerana kita hidup di dalam kemiskinan. Ketakutan utama kita adalah kita berkuasa tanpa punyai sempadan dan had. Bukan kegelapan sebaliknya cahaya yang telah menakutkan kita. Kita tanya pada diri sendiri, “Siapakah kita untuk menjadi bijak, cantik, berbakat dan hebat?” Sepatutnya yang wajar difikirkan, siapakah diri anda yang tidak sepatutnya menjadi? Sedarlah, kamu adalah hamba kepada Tuhan. Dengan hanya berperanan kecil, kamu sebenarnya tidak memberi apa-apa sumbangan kepada dunia.”

Langkah terawal untuk untuk menjadi seorang pemimpin yang dicitakan ialah dengan mengambara ke dalam masa depan. Di mana anda mahu memimpin sebagai seorang pemimpin? Anda sewajarnya melihat kepada masa depan dan buatlah pilihan dan keputusan.

Bagaimana untuk melihat masa depan? Bayangkan seorang pemimpin yang bernama Helmi yang bakal mengucapkan selamat tinggal untuk meninggalkan kumpulan yang dipimpinnya setelah 10 tahun. Apakah yang anda harapkan kata-kata dan bingkisan daripada mereka?

“Dia hebat, tetapi dia tidak pernah mencapai apa yang beliau sepatutnya mampu…”

“Dia telah melakukannya dengan baik, namun masih ada yang saya percaya dia mampu lakukan dengan lebih baik…”

“Dia pernah membicarakan tentang impiannya dan kemudian menjadi sibuk dengan itu dan ini sehingga saya tidak pasti apa sebenarnya yang diimpikan olehnya. Mungkin dia bisa mencapainya di dalam kumpulannya mendatang.”

“Saya menyukainya namun saya tidak merasakan bahawa saya mengenalinya.”

Helmi yang telah mengakhiri sesi kepimpinan di dalam kumpulannya, tidak dapat mendengar apa jua perkataan yang menggambarkan dirinya sebagai seorang pemimpin dan ia sebenarnya menghampakan. Helmi lebih gemar untuk mendengar bingkisan kata-kata seperti;

“Dia telah memberi peluang kepada saya untuk memahami ideanya dan mengetahui peranan mengikut cara saya tanpa kongkongan tetapi terpandu.”

“Dia telah menjadi inspirasi kepada saya untuk mempercayai bahawa saya mampu lebih dari apa yang saya sedari dan memberikan keyakinan untuk melakukannya…”

“Idea-ideanya yang punyai inspirasi dan keyakinan serta pada hasilnya adalah apa yang hendak dicapai merupakan pendorong kepada kami untuk berada di belakangnya.”

“Perubahan dan idea-idea yang baru tidak pernah lekang dari pemikirannya… dia sentiasa mempunyai gambaran jelas terhadap apa yang ingin dicapainya.”

“Dia memang hebat!”

Albert Einstein pernah berkata, “Imaginasi adalah lebih penting diutamakan berbanding ilmu.” Tidak salah untuk berimaginasi. Seseorang boleh menggunakan kemampuannya untuk berimaginasi atau mengandaikan situasi masa depan sebelum kita melibatkan orang lain dan diri kita kepada sesuatu. Anda akan dapati ramai ahli-ahli sukan hebat dari seluruh dunia yang telah menggunakan pemikiran masa depan dan visualisasi terhadap apa yang mereka mahukan untuk dicapai sebagai kelengkapan asas untuk bersedia. Teknik ini adalah sangat berkuasa di dalam mengimaginasikan sesuatu kemungkinan sebelum anda terjebak dengannya.

KESIMPULAN

Setiap muslim mestilah mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik untuk melaksanakan tugas khalifah sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran. Setiap daripada kita mempunyai amanah, dan kita bertanggungjawab untuk melaksanakan yang terbaik. Oleh yang demikian, generasi muda mestilah dilengkapkan diri anda dengan ciri-ciri seorang pemimpin yang sejati.

2 comments:

l bro m said...

insya Allah tahun dpn tanding mpm untuk calon umum ye.. hik2

muhaimin said...

Insyallah....Evolusi ke pro-M??

Senyumlah sahabatku

Related Posts with Thumbnails