Sebilangan besar pula manusia yang ada sedikit Cinta kepada Allah, tetapi sangat cinta kepada dunia. Maka dengan itu mereka terpaksalah menerima azab di akhirat sebelum mereka dibersihkan dari karat-karat cinta kepada dunia itu. Ramai orang yang mengaku Cinta kepada Allah, tetapi seseorang itu boleh menilainya dan menguji dirinya dengan memerhatikan kemanakah cenderung lebih berat kalau perintah Allah bertelagah dengan kehendak nafsunya? Orang yang mengatakan Cinta kepada Allah tetapi tidak dapat menahan dirinya dari menderhaka dan tidak patuh kepada Allah, maka orang itu sebenarnya bercakap bohong.
Kita telah perhatikan di atas bahawa satu jenis Neraka Keruhanian ialah berpisah secara paksa dari keduniaan dengan keadaan itu sangat terkait dan terikat dengan keduniaan itu. Banyak pula orang yang membawa dalam diri mereka, kuman-kuman neraka seperti ini tanpa mereka sedari. Di akhirat kelak, mereka akan rasai diri mereka seperti Raja yang diturunkan dari takhta kerajaan dan dijadikan alat gelak ketawa orang ramai, pada hal sebelum ini mereka hidup dengan mewah dan senang lenang.
Jenis Neraka Keruhanian yang kedua ialah Malu; iaitu apabila manusia itu tersedar dan melihat keadaan perbuatan yang dilakukan dalam keadaan hakiki yang sebenarnya tanpa selindung lagi. Orang yang membuat fitnah akan melihat dirinya dalam bentuk orang yang memakan daging saudaranya sendiri; dan orang yang Hasad dengki seperti yang melempar batu kepada tembok dan batu itu melantun ke belakang lalu mengenai mata anaknya sendiri.
Jenis neraka seperti ini, iaitu Malu, bolehlah dilambangkan dengan ibarat berikut. Katakanlah seorang Raja merayai perkahwainan anak lelakinya. Di waktu petang, orang muda itu pergi bersama sahabatnya berjalan-jalan dan tidak lama kemudian kembali ke Istana(sebagimana yang disangkanya dalam keadaan mabuk). Dia masuk ke sebuah Dewan di mana dian(lilin) sedang menyala. Ia baring. Disangkanya ia baring dekat isterinya. Besoknya, apabila ia sedar semula, terperanjatlah ia apabila dilihatnya dirinya berada dalam Rumah Mayat orang-orang Majusi. Tempat baringannya itu ialah usungan mayat itu dan bentuk orang yang disangkakan isterinya itu ialah sebnarnya mayat seorang perempuan tua yang mula hendak busuk dan reput. Ia pun keluar dari Rumah Mayat itu dengan pakaian ang kotor dan rupa yang comot. Alangkah malunya ia berjumpa dengan bapanya, Raja itu bersama dengan pengiring-pengiringnya. Demikianlah gambaran Malu yang dirasi di akhirat kelak oleh mereka yang di dunia ini Tamak Haloba dan menumpukan seluruh jiwa raga kepada apa yang mereka sangka sebagai keseronokan dan kenikmatan.
Nereka Keruhanian Yang Ketiga ialah sesal dan putus asa dan gagal mencapai tujuan hidup yang sebenarnya. Manusia dijadikan untuk Mencerminkan Cahaya Makrifat Allah. Tetapi jika ia kembali ke akhirat dengan jiwanya penuh mabuk dan karat hawa nafsu, maka gagal lah ia mencapai matlamat atau tujuan hidupnya di dunia ini. Sesalan atau putus asanya boleh digambarkan demikian.
Katalah seseorang melintasi hutan yang gelap bersama kawan-kawannya. Di sana sini terlihat kilauan cahaya batu yang berwarna-warni. Kawannya memungut batu itu dan menasihatnya supaya berbuat demikian juga. Kawannya berkata, "Batu ini sangat mahal harganya di tempat yang kita akan pergi sana". Tetapi beliau mentertawakan mereka dan mengatakan mereka bodoh kerana mengharapkan keuntungan yang sia-sia yang belum tentu lagi. Dia pun terus berjalan. Akhirnya mereka pun keluarlah dari hutan yang gelap itu setelah berjalan beberapa lama. Mereka dapati batu itu sebenarnya batu Delima, Intan Berlian dan sangat bernilai dan berharga. Alangkah sesal dan putus asanya ia kerana tidak mahu mengutip batu-batu itu dahulu. Begitulah ibaratnya orang yang sesal di kahirat kelak kerana semasa mereka hidup di dunia ini mereka lalai dan tidak berusaha untuk mendapatkan intan permata kebajikan dan perbendaharaan agama.
Sumber :Mengenal Akhirat.. (minta maaf link terpaksa disembunyi, jika pemahaman anda tahap rendah ia akan menyesatkan pemikiran anda.) ~Nauzubillah.. Semoga penulis dirahmati Allah..Amin..
No comments:
Post a Comment