Sunday, May 1, 2011

DEMONSTRASI SEBAGAI WASILAH TARBIYAH



DEMONSTRASI SEBAGAI WASILAH TARBIYAH

(Sempena Demonstrasi Aman DPPNK Membantah Kenaikan Harga Minyak
di Dataran Merdeka, Sungai Petani pada hari Jumaat, 6 Jun 2008)


Sebilangan penulis-penulis Islam, mereka mengkaitkan demosntrasi dengan tindakan golongan Khawarij yang telah melakukan pemberontakan terhadap khalifah Islam di zaman pemerintahan Osman bin Affan RA dan pemerintahan Ali bin Abi Talib RA. Dengan alasan yang demikian, mereka mengistinbatkan bahawa demonstrasi adalah sesuatu yang maksiat kerana melawan khalifah Islam.

Melihat kepada perbahasan ini, penilaian yang dapat diberikan adalah, tafsiran dan pendedahan yang dilakukan oleh mereka itu menggambarkan bahawa mereka tidak berpegang kaedah fiqh yang berbunyi;

إن الحكم على الشئ فرع عن تصوره

Maksudnya;
“sesungguhnya hukum atas sesuatu adalah furuk (cawangan) dari gambarannya”

Mereka meletakan sesuatu hukum, tanpa melihat kepada keadaan sesuatu benda yang hendak dihukumkan. Ekoran dari itu, hukum yang dijatuhkan itu menjadi ‘berat sebelah’ dan bersikap zalim.

HAKIKAT DEMONSTRASI

Demonstrasi adalah satu kalimah inggeris yang diambil dari kalimah demonstration. Mengikut terjemahan melayu, Demonstrasi dimaksudkan dengan ‘perhimpunan tunjuk perasaan’.

Didalam Kamus Dewan Bahasa, Demonstrasi mengandungi dua makna. Pertama: penerangan, peragaan, penunjukan tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran dan lain-lain; Kedua: tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan lain-lain.

Melihat kepada dua makna tersebut, makna yang kedua adalah yang paling tepat dalam perbahasan kita ini.

Di dalam Bahasa Arab, Demonstrasi dipanggil dengan MUZHAHARAH. Di dalam perbahasan Islam, Islam membahagikan demonstrasi kepada dua bentuk, iaitu demonstrasi liar dan demonstrasi aman.

Demonstrasi liar adalah demonstrasi yang bersifat sekumpulan masyarakat di tempat-tempat umum untuk menuntut dan membantah perkara-perkara tertentu yang sudah menjadi tugas negara atau orang yang bertanggungjawab. Di dalam Demonstrasi ini, para penunjuk perasaan biasanya akan melakukan kerosakan, rusuhan, kemusnahan, membakar harta milik negara, harta umum ataupun harta individu.

Adapun Demonstrasi aman iaitu perbuatan sekumpulan masyarakat untuk menyokong, menuntut dan juga membantah sesuatu. Tindakan ini tidak akan disertai aktiviti merosakkan, menghancurkan atau membakar harta benda negara, awam atau individu. Para penunjuk perasaan akan sentiasa memerhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara', nilai-nilai Islam dan kemaslahatan umat Islam. Mereka juga akan sentiasa menjaga adab-adab sebagai orang Islam.

ISLAM DAN DEMONSTRASI

Melihat kepada hakikat dua demonstrasi yang didedahkan, maka kita dapat menilai, yang mana satukah demonstrasi yang diharamkan dan demonstrasi yang dibenarkan didalam Islam.

Demonstrasi liar adalah sesuatu tindakan yang diharamkan didalam Islam, maka dengan demikian, demonstrasi yang dilakukan oleh Khawarij adalah demonstrasi mengikut tafsiran yang pertama.

Adapun Demonstrasi aman, maka itu dibenarkan didalam Islam. Ini kerana, banyak bukti-bukti dan dalil-dalil yang menyatakan keharusannya. Antara dalil-dalil tersebut adalah seperti berikut;

a. Rasulullah SAW juga pernah menghimpunkan kaum Quraish di Bukit Safa untuk menyeru kepada mereka supaya beriman kepada Allah dan menjelaskan bahawa Baginda adalah Rasul yang diutus Allah kepada manusia.

b. Melihat kepada falsafah Haji, yang mana, Allah mengizinkan haji hanya dilakukan di Mekkah di hari-hari yang ditetapkan sahaja. Disamping mengerjakan haji, di suruh supaya melakukan tawaf dan bertalbiyyah sebagai cara hendak menyatakan hasrat hati dan ‘tunjuk perasaan’ didepan Allah.

Melihat kepada ‘istidlal’ ini, difahami bahawa islam tidaklah mengharamkan demonstrasi secara mutlak, bahkan islam membenarkan berdemonstrasi yang tidak menyalahi kehendak syariah islamiyyah.

Sekiranya, cara non muslim sahaja menggunakan demonstrasi menjadi hujjah atas larangan berdemonstrasi, maka tidak semua perkara yang datang dari orang yang bukan Islam adalah di tolak, bahkan ada perkara yang datang dari bukan islam, di terima dan dibenarkan diamalkan didalam Islam, tetapi keizinan tersebut hendaklah berdasarkan kepada ketiadaan percanggahannya dengan nas-nas yang qatii dan yang lebih jelas.

Antara dalil yang menyatakan tidak semua cara non muslim mesti di tolak adalah seperti berikut;

a. Sirah menjelaskan, ketika berlaku peperangan ahzab, Rasulullah SAW telah meminta pandangan dari kalangan sahabat supaya menyatakan pandangan-pandangan mereka. Lalu telah memberi pandangan oleh Salman Al-Farisi dengan menggali parit dengan alasan, taktik peperangan itu diamalkan oleh golongan Majusi (golongan yang menyembah Api) di Farsi ketika itu. Mendengar pandangan tersebut, Rasulullah menerimanya.


b. Di dalam sirah juga jelas menyatakan penerimaan Rasulullah SAW menjadikan golongan kuffar quraish yang ditawan dalam peperangan Badar, supaya menjadi guru-guru yang mengajar kepada anak-anak orang Islam di kala itu.

Dengan hujjah-hujjah ini, dapatlah kita membuat kesimpulan, bahawa Islam tidak melarang melakukan demonstrasi yang aman, tetapi Islam melarang demonstrasi liar.

Wallahu a’lam.


*Artikel ini adalah sumbangan Akhi Wan Ji Wan Husin

Sumber: DPPK.

Dipublish oleh : abdullah muhaimin saari

No comments:

Senyumlah sahabatku

Related Posts with Thumbnails